Pukul 4 petang. Suasana agak tenang, tak banyak kenderaan yang lalu di kawasan Masjid Kampung Kenanga. Selesai solat Zohor tadi, aku baca Al-Quran dan selepas itu hanya duduk di tangga masjid. Sekali-sekala aku buka aplikasi wechat, whatsapp dan instagram, sekadar meninjau, mana lah tahu ada sesuatu yang menarik. Lebih kurang 300 meter dari masjid boleh nampak orang ramai membeli belah di deretan bangunan kedai di seberang jalan. Aku hanya memerhati dari jauh, gelagat dan kerenah manusia-manusia yang kelihatan gembira seperti tiada masalah yang mereka hadapi. Mereka juga manusia biasa seperti aku. "Ahhh, mungkin diorang juga ada masalah, cuma aku yang tak tahu, sebab diorang tak bagitahu kat aku". Keluh hati aku yang gelisah memikirkan masa depanku.
Sejak putus tunang, hidup aku tak menentu. Aku sentiasa mencari apa punca dan penyebab pertunangan aku putus. Bagi aku pergaduhan itu perkara biasa, perselisihan faham itu memang asam garam dalam percintaan lebih-lebih lagi bila sudah berumahtangga. Jadi aku memang tak dapat terima pergaduhan sebagai alasan untuk kami putus, Pasti ada sebab lain.
Sedang aku asyik termenung, tiba-tiba datang seorang lelaki yang aku anggarkan berusia dalam 30-an. Dia datang menghampiri aku. "jauh termenung dik, fikir apa?." Aku terdiam seketika, berkira-kira sama ada aku patut menceritakan masalah aku pada dia atau tidak.
"Hidup ni memang perlu ada masalah. Tak
best la kalau tak ada masalah. Kalau kita tak rasa pahitnya ujian, macam mana kita nak rasa manisnya kebahagian." kata-kata dia memecah kebuntuan aku yang membisu seketika tadi, mungkin dia perasan yang aku memang ada masalah. Aku faham niat dia, nak tenangkan hati aku dengan kata-kata semangat. Tapi kata-kata semangat seperti itu sudah berkali-kali ku dengar dan baca di twitter dan facebook. Aku dah muak dengan kata-kata semangat seperti itu yang terlalu berkias membuatkan aku tak faham apa yang ingin disampaikan. Aku bertanya, "apa maksud abang? saya tak faham." sambil memandang tepat pada matanya.
"Oh tak faham ke? Macam ni, Kalau kita minum air, kita hanya merasa nikmat air tersebut lebih-lebih lagi air sejuk. Pergghhh memang sedap kan? Tapi berbeza tak minum air sejuk masa kita tengah haus dengan minum air sejuk ketika tak haus? Berbeza tak minum air ketika kita tengah terseksa kepedasan dengan minum air ketika kita tak kepedasan? Lain kan? Jadi kalau kita dah pernah rasa pedas dan rasa haus, mesti kita lebih hargai air." jelas abang tersebut dengan panjang lebar. Kali ni aku sedikit faham apa yang ingin disampaikan. Sampai tekak aku juga terasa kekeringan bila dia cerita pasal air. "bang, apa kata kita lepak kat warung depan tu, teringin pulak nak makan ABC. haus ni." ajak aku sambil tersenyum. "alahai kau ni, abang cerita pasal air je terus rasa haus ke?haha" gelak dia perlahan sambil bangun dan kami terus menuju ke warung tersebut.
Sampai sahaja di warung, kami pesan ABC. Memang dah lama tak 'pekena' ABC atau cendol dengan kawan-kawan. Tengah hari yang panas macam ni memang sedap lah nak basahkan tekak ni.
Aku termenung lagi, kali ni memikirkan kata-kata lelaki tersebut. "Bang, apa yang abang cakap tadi tu, pasal air tu saya dah faham kot." ujar aku bagi memulakan perbualan yang terhenti akibat menunggu ABC yang belum sampai lagi. "Apa yang kau faham?" tanya dia.
"Kalau kita selalu diuji dengan kesusahan, dah tentu bila kita rasa senang kita akan berusaha untuk lakukan sebaik mungkin bila kita dah senang. Contohnya bila kita buat silap pada seseorang lalu menyesal, mesti kita akan berusaha untuk minta maaf dan berusaha jadi lebih baik bila dia dah maafkan kita. Atau Allah uji kita dengan kesusahan dan kemiskinan, kita akan lebih hargai pemberian orang lain walaupun hanya sedikit. Dan bila kita dah kaya, mesti kita lebih hargai harta kita dan takkan gunakan ke jalan yang salah." panjang lebar aku ceritakan apa yang aku faham. haha. Abang yang ada di depan aku melopong je sambil mendengar penjelasan aku.
"wah, kau ni dah terlebih faham ni. Baguslah, abang pun sebenarnya tak terfikir pulak sampai ke situ. Abang pun baca kat facebook je, bukan faham sangat pun. haha. Alhamdulillah, ni lah hikmah berkongsi pendapat. Boleh tambah ilmu sikit." katanya sambil menyambut mangkuk ABC daripada tangan
waiter yang baru sampai lalu dihulurkan pada aku pula, "terima kasih." kata aku dengan perlahan. Satu lagi mangkuk ABC diambilnya dan tanpa membuang masa kami terus makan disusuli dengan bacaan basmallah terlebih dahulu. Alhamdulillah, aku masih hidup dan dapat menikmati pemberian Allah ni. Tanpa aku sedar, rupanya aku dah terlupa dengan masalah aku sejak bertemu dengan abang ni, Hatiku agak selesa sekarang. Mungkin aku harus terus terang pada dia tentang masalah ini sebab dah lama ku pendam seorang diri. Ada baiknya aku cerita dan minta pendapat dia. Mana la tahu dia boleh berikan jalan penyelesainan atau setidak-tidaknya mampu menenangkan hatiku yang sedang duka lara ni.
"Begini bang, saya ada masalah, saya baru putus tunang. Dah hampir 3 bulan, tapi saya masih belum dapat melupakan dia. Kami dah kenal 3 tahun, dan bertunang lebih setahun. Sepanjang kami kenal, kami tak pernah bergaduh dan bertengkar. Sampai lah suatu hari ada sedikit perselisihan faham. Punca nya sangat remeh, tapi itu lah titik permulaan kami saling membenci antara satu sama lain." cerita aku sambil memandang ke mangkuk ABC yang masih penuh.
"Oh macam tu, patut lah dari tadi asyik muram je. Putus tunang rupanya. emmmm, ada melibatkan orang ketiga ke?" tanya dia dengan penuh minat ingin mendengar keluhanku.
"Tak ada bang, dia orang yang sangat baik dan tak pernah berkawan rapat dengan lelaki". jawab aku pendek.
"Kalau macam tu tak usah lah risau, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Begitu juga sebaliknya. Memang begitulah dugaan orang yang bertunang lama. Bertunang kan proses perkenalan. Masa ni lah kita nak buktikan yang kita boleh jadi lelaki yang terbaik untuk dia selepas kahwin. Cuba periksa balik hubungan kau dengan Allah. Cinta ni datang daripada Allah, so cinta akan hilang kalau kita lalai mengingati Allah."
Aku tahan air mataku daripada jatuh. Kata-kata dia buat aku terharu kerana dia orang yang pertama beri harapan sebegitu. Sebelum ni bila aku
google pasal putus tunang, aku akan jumpa banyak artikel yang hanya menyarankan supaya melupakan saja orang yang sudah pergi. Tapi abang ni berikan kata-kata yang agak berlainan. Sekarang aku terfikir, betul juga kata-kata dia tadi. Allah telah ambil dia daripadaku kerana aku telah lalai. Aku makin jauh dari Allah. Aku jauh daripada Allah disebabkan diri aku sendiri, bukan disebabkan bekas tunangku itu. Allah yang selisihkan hati kami berdua kerana kami lalai dalam percintaan. Kami hanyut. Dia memegang bahuku saat tersedar yang air mataku sedikit menitis. Cepat-cepat ku kesatkan takut-takut dilihat oleh orang lain. Tak ramai orang di warung tu, tapi aku tetap tak mahu orang nampak, Aku kena jaga maruah aku sebagai lelaki. Lelaki tak boleh menangis depan orang ramai.
"Cukuplah bersedih. Kalau betul kau dah jauh dari Allah, kau dekatkan balik. Mungkin Allah cuma ambil dia sementara, supaya kau sedar dengan dosa dan kesalahan kau pada Allah. Bila kau dah berubah, InsyaAllah hati dia akan terbuka untuk kau. Kalau 3 tahun kau orang kenal, abang rasa tak mungkin lah dia akan senang lupakan kau. Mungkin sekarang dia juga tengah bersedih macam kau." pujuk dia setelah nampak mata aku sudah berkaca-berkaca.
"Betul ke dia akan balik pada saya? Abang boleh jamin ke? Kalau tak, abang kena carikan pengganti dia untuk saya. haha". Gurau aku, cuba menceriakan hati. Aku senyum dan mencapai ABC untuk disuapkan ke mulut. Dia senyum sedikit cuba mengambil hati aku dengan gurauan tadi.
"Sebenarnya, abang juga pernah putus tunang. Dan sekarang abang dah kahwin dengan dia. Alhamdulillah anak pun dah dua orang. Kitorang jadi berkali ganda lebih mesra lepas berbaik semula. Sebab tu abang kata, kita takkan rasa manis kebahagiaan sebelum merasa pahitnya dugaan". Dia terus diam sambil menghirup ABC yang sudah separuh cair. Kata-kata dia seolah-olah memberi aku semangat baru yang tak pernah aku rasa sebelum ini. Aku betul-betul nak tahu cerita dia. Macam mana dia putus? Macam mana boleh sambung balik? Apa rahsianya?
Tak lama kemudian, dia menyambung, "Abang dulu macam kau juga, bergaduh bertengkar sampai putus. Lepas tu abang muhasabah diri, cuba cari kesilapan abang. Masa tu abang sedar yang abang dah lama tak pergi masjid, tak baca al-quran. Abang cuba positifkan diri untuk berubah. Abang berusaha untuk anggap semua ni berlaku berpunca daripada hubungan abang dengan Allah. Abang betul-batul jadi orang yang positif mulai hari tu. Cuba tenangkan hati dan yakin bahwa Allah akan tunjukkan jalan penyelesaian. Yakin gila-gila tau, bukan yakin sikit-sikit. Alhamdulillah beberapa bulan lepas tu, tunang abang
call untuk bincang sesuatu. Kemudian kami jumpa dan dia nyatakan hasrat dia. Lepas tu kami terus je kahwin. Mak ayah abang pun pelik dengan kami, tapi diorang tak kisah sebab diorang faham yang kita tak boleh lari daripada perselisihan faham."
Patut lah dari mula lagi abang ni asyik cakap pasal hubungan dengan Allah. Rupanya dia memang pernah alami sendiri. Sekarang aku rasa situasi dia memang sama dengan aku. Tapi aku tak nak dia tahu. Aku akan diam selagi boleh, aku tak mahu ceritakan lagi pasal masalah aku. Tapi kalau dia tanya, terpaksa lah aku jawab. Kami terus makan sambil berinteraksi dengan
smartphone masing-masing. Agak lama kami diam.
**************
"Eh dah nak Asar ni. Cepat habiskan makanan. Kita pergi masjid nanti. Kau imamkan solat Asar tau". tegas dia dengan tiba-tiba. Tersentak aku seketika. Imam? Bila kali terakhir aku jadi imam? Kali terakhir aku jadi imam adalah ketika aku masih seorang pelajar di kolej matrikulasi dulu. Itu lah kali terakhir iman aku berada pada tahap tertinggi seumur hidup aku. Solat lima waktu sentiasa ditunaikan secara berjemaah di surau. Dulu aku lah orang yang paling senang untuk didampingi kerana sifat rendah diri dan pendiam serta sikap mudah mesra aku dengan orang. Ramai yang suka berjumpa dengan aku untuk menceritakan masalah peribadi masing-masing. Maklumlah, aku ni sangat senang untuk orang jumpa. Pergi saja ke surau, InsyaAllah aku sentiasa ada di situ setiap kali solat fardhu. Orang ramai sudah
familiar dengan muka aku. Tapi sekarang aku masih berfikir tentang punca aku jauh daripada Allah. Mungkin aku lalai dengan kehidupan dunia dan berkawan dengan orang yang juga jauh dari Allah. Hidup kat luar ni tak sama dengan di institusi pelajaran yang mana kita boleh jumpa ramai kawan yang kaki surau atau budak surau. Tapi di luar, kena jaga diri masing-masing. Ukhwah fillah susah nak dijumpai.
"jauh termenung dik. Nak pergi masjid ke tidak ni?" sampuk dia membebaskan aku dari lamunan.
Aku pandang dia lalu senyum. "okay jom pergi". Balas aku sambil mengangkat punggung daripada kerusi plastik warna merah yang aku duduk. Aku bayarkan ABC untuk dia juga walaupun beberapa kali dia menolak. Aku memujuk dia supaya membenarkan aku bayar kerana aku ikhlas dan sudah lama tak membelanja kawan. Dia cuma diam dan biarkan sahaja. Kami terus berjalan ke masjid yang hanya beberapa puluh langkah daripada warung tersebut.
Aku mengambil wuduk dan duduk di saf paling hadapan. Azan berkumandang. Seketika kemudian masjid sudah dihadiri ramai orang. Ada lah dalam 2 saf, tak ramai sangat pun. Masjid ni kecil je dan penduduk tak juga ramai. Asalnya ia cuma surau, tapi disebabkan ia dijadikan tempat solat jumaat kerna masjid lain terlalu jauh, surau ini diiktirafkan sebagai masjid oleh pihak pentadbir daerah. Iqamat sudah dilaungkan. Aku terus sahaja mencapai mikrofon daripada bilal tanpa berfikir panjang. Seolah-olah aku sudah biasa dengan pengurusan masjid ini. Aku mengimamkan solat Asar. Setelah memberi salam aku berdoa dan diaminkan oleh para jemaah. Agak panjang doa yang aku baca. Selesai berdoa, aku toleh ke belakang, mencari-mencari abang tadi. "mungkin dia ke tandas". bisik aku perlahan.
Setelah semua orang pulang meninggalkan masjid, aku masih menunggu abang tadi. Belum sempat aku menanyakan nama dan tempat tinggal setelah sekian lama bersembang dengannya di warung. Aku agak kebingungan. Ke mana dia pergi? Aku masih tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya. Aku dah cari seluruh masjid. Ternyata dia memang dah pergi. Aku duduk semula di tangga masjid seperti selepas solat zohor tadi. Termenung lagi. Kali ni termenung memikirkan kata-kata abang tadi. Mungkin Allah utuskan dia untuk menggembirakan aku dan bantu aku menyelesaikan masalah ni. Aku tak dapat lupakan bekas tunang aku tu, sebab kami dah lama kenal dan aku sangat cintakan dia. Dia lah wanita pertama yang pernah hadir dalam hidup aku. Aku nak dia jadi yang terakhir untuk aku. Mulai hari ni, aku akan berusaha untuk jadi lebih baik dan berdoa agar Allah pulangkan dia pada aku. Aku akan berusaha sedaya upaya. Itu janji aku pada diri sendiri. Aku tak mahu mengalah dan berputus asa. Identiti abang tadi masih menjadi rahsia. Aku harap dia akan mendoakan aku, dan harap akan berjumpa lagi suatu hari nanti.
Dan para pembaca sekalian. Doakan juga untuk aku agar pengakhiran cinta aku akan sama seperti abang misteri tadi tu. Terima kasih. Sedekahkanlah Al-Fatihah untukku. Semoga Allah merahmati dan membalas jasa baik anda. Terima kasih. Semoga cerita ini akan menjadi pembakar semangat bagi orang yang juga menghadapi masalah seperti aku. Komen lah jika ada kekurangan dalam gaya penceritaanku atau gaya bahasa ku. Aku bukanlah penulis profesional. Bantu aku untuk menggilap dan memantapkan lagi penulisan aku. InsyaAllah. Al-Fatihah :)